arena

Dapat lampu hijau

Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Skuad gimrama mendapat lampu hijau untuk ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini, namun nasib skuad gimnastik artistik wanita masih belum diketahui.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Datuk Jaya Al Bakri mengesahkan seramai empat atlet gimrama - Amy Kwan, Izzah Amzan, Koi Sie Yan dan Ng Jia Wen sudah melayakkan diri ke temasya itu apabila diletakkan dalam Kategori A oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Jia Wen menggantikan Shasangari Sivaneswary yang mengalami kecederaan buku lali.

“Pemilihan ini dilakukan berdasarkan keputusan terbaru mereka pada Kejohanan Gimrama Asia di Axiata Arena, hujung April lalu dan juga pada Sukan Komanwel di Gold Coast juga pada April lalu.

“Buat masa ini kami sedang mempertimbangkan sama ada mahu menghantar atlet yang disenarai dalam Kategori B atau tidak kerana kita hanya mahu menghantar atlet yang berpeluang untuk menang atau tidak,” katanya.

Mengikut senarai dikeluarkan MOM, skuad gimnastik artistik yang terdiri daripada lima gimnas lelaki dan lima gimnas wanita disenaraikan di bawah Kategori B.

Berdasarkan temasya terdahulu, hanya Farah Ann Abdul Hadi melayakkan diri pada temasya di Incheon dengan gimnas itu memperoleh keputusan tempat ketujuh dalam acara keseluruhan individu dan juga tempat ketujuh acara final senaman lantai sedangkan had kelayakan ke Kategori A perlulah menduduki ranking empat terbaik.

Jaya berkata, skuad gimnastik artistik wanita yang terdiri daripada Farah, Nur Eli Ellina Azmi, Nur Azira Aziri dan Tan Ing Yueh bagaimanapun menduduki tempat keempat pada Kejohanan Gimnastik Artistik Asia pada tahun lalu di Bangkok.

“Kalau ikutkan keputusan individu Farah pada temasya lalu, gimnas itu tidak dapat melepasi Kategori A tetapi jika keputusan berpasukan ketika di Bangkok diambil kira mereka sepatutnya layak. Jadi kami akan cuba membuat rayuan,” katanya yang mempunyai masa sehingga hujung bulan ini untuk membuat rayuan.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 11:31am
d