arena

Rentak Australia tak terganggu

Oleh AFP

BINTANG veteran Australia, Tim Cahill mungkin terpaksa berpuas hati dengan peranan kecil di Piala Dunia 2018 dengan kapten, Mile Jedinak pula mungkin memulakan aksi di bangku simpanan.

Begitupun, di sebalik beberapa perubahan yang dibuat, ia dipercayai tidak akan mengganggu kempen skuad yang diberi jolokan Socceroos itu.

Pertahanan Bursaspor, Aziz Behich berkata, pemilihan pasukan hanya memberikan sedikit perbezaan terhadap pasukan itu yang meletakkan sasaran untuk mencipta kejutan ketika menentang pasukan pilihan, Perancis dalam aksi pertama Kumpulan C.

“Kami tidak berada di sini untuk melengkapkan angka, itu perkara yang boleh saya pastikan,” kata Behich ketika ditemui, hari ini. 

“Ia akan menjadi perlawanan yang baik, ujian yang bagus untuk kami. Ia membabitkan 11 lawan 11, jadi kami tidak bimbang dengan sesiapapun.”

Tatkala Perancis dilabel antara pilihan di Russia, sasaran utama Australia adalah untuk melepasi peringkat kumpulan -  kejayaan yang hanya mereka raih sekali pada 2006 di bawah kendalian jurulatih dari Belanda, Guus Hiddink.

Ketika ini, Australia dibimbing rakan senegara Hiddink, Bert van Marwijk yang sebelum ini membawa pasukan kebangsaan Belanda ke pentas final pada 2010.

Pemain tengah Aston Villa, Jedinak, yang berkemungkinan lilitan di bahunya diserahkan kepada pertahanan Jiangsu Suning, Trent Sainsbury disenarai sebagai pemain gantian yang tidak digunakan ketika Australia meraih kemenangan 4-0 ke atas Republik Czech.

Ketika kemenangan 2-1 ke atas Hungary, dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua, dengan Cahill yang meletakkan sasaran meledak gol dalam empat edisi Piala Dunia langsung tidak diturunkan.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 11:42pm
d