arena

Russia perlu buktikan sesuatu

Oleh AFP

TUAN rumah Russia amat tertekan untuk beraksi baik ketika bahang Piala Dunia makin terasa menjelang perlawanan pembukaan menentang Arab Saudi, aksi yang menemukan dua pasukan dengan ranking terendah pada kejohanan itu.

Anak buah Stanislav Cherchesov akan masuk ke padang di Stadium Luzhniki dengan kapasiti 80,000 penonton Khamis ini, satu saat bersejarah dalam sukan Russia, yang berada di ranking ke-70 dunia, tiga anak tangga di belakang pencabar Kumpulan A, Arab Saudi dengan tanpa sebarang kemenangan dalam tempoh lapan bulan.

Keputusan seri 1-1 dengan Turki di Moscow minggu lalu menjadikan bekas penjaga gol pasukan kebangsaan, Cherchesov sebagai pengurus pertama Russia atau Soviet tidak menang dalam tujuh perlawanan berturut-turut, empat daripadanya berakhir dengan kekalahan.

Russia menghabiskan lebih AS$13 bilion (RM52 bilion) bagi persiapan acara terulung itu dan Presiden Vladimir Putin meminta pasukan beraksi cemerlang ketika mereka dilihat mampu mara daripada kumpulan yang turut disertai Uruguay dan Mesir.

Russia tidak pernah layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia dan terdesak untuk mengatasi catatan itu pada musim panas kali ini.

Hanya Afrika Selatan pada 2010, tersingkir di peringkat kumpulan sebagai tuan rumah namun beberapa siri kecederaan menjejaskan persiapan Russia.

Penyerang Zenit St Petersburg, Alexander Kokorin terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut serius Mac lalu, susulan ketiadaan pertahanan Georgi Dzhikiya dan Viktor Vasin.

Penyerang Krasnodar, Fyodor Smolov dan Artem Dzyuba, yang dipinjamkan ke Arsenal Tula Januari lalu selepas bertelagah dengan bekas jurulatih Zenit, Roberto Mancini, akan mengemudi serangan manakala pemain sayap Real Madrid, Denis Cheryshev kembali ke dalam skuad selepas lebih dua tahun.

Arab Saudi kembali ke kejohanan terulung itu buat kali pertama sejak 2006, menyebabkan lembaga sukan negara itu membuat pakatan menghantar pemain secara pinjaman ke Sepanyol untuk meraih pengalaman di peringkat tertinggi.

Fahad Al-Muwallad, golnya menentang Jepun September lalu memastikan kemaraan, seorang daripada sembilan pemain terbabit dalam perjanjian itu namun ia berakhir sebagai satu kegagalan.

Muwallad, yang dipinjamkan di Levante dan pemain sayap Salem Al-Dawsari, di Villarreal, hanya bermain beberapa minit pada hujung musim. Pemain tengah menyerang Yahia Al-Sheri, yang dipinjamkan di Leganes, tidak langsung berpeluang beraksi.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 11:55pm
d