arena

Jangan anggap VAR sempurna

Oleh Reuters

PENGADIL Bantuan Video (VAR) akan digunakan buat julung kalinya di pentas Piala Dunia 2018 namun teknologi itu tidak sempurna, kata Pengarah Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Massimo Busacca.

Sistem itu mendapat kelulusan untuk digunakan pada temasya berprestij itu, Mac lalu.

Meskipun sudah digunakan secara meluas dalam saingan liga domestik di Eropah termasuk di divisyen utama di Jerman dan Itali serta Piala FA di England, namun kesediaan sistem itu untuk digunakan di Piala Dunia tetap menjadi persoalan.

Dalam sidang media, Busacca menegaskan FIFA melontarkan keyakinan penuh terhadap teknologi VAR namun ia mungkin tidak dapat memberikan gambaran yang begitu tepat seperti yang dimahukan.

“Apabila kami kata mahu gunakan VAR pada Piala Dunia, ia kerana kami sudah bersedia.

“Namun jangan anggap ia teknologi yang sempurna. Kami mahu konsisten dan keseragaman namun jangan fikir teknologi itu mampu menyelesaikan 100 peratus masalah.

“Di hadapan video, kami tetap memiliki pegawai yang akan menilai setiap insiden yang berlaku. Ia bukanlah Teknologi Garisan Gol (GLT) yang membabitkan getaran.

“Ia membabitkan tafsiran. Mungkin ya atau mungkin tidak. Kami sentiasa boleh berbincang mengenainya selepas perlawanan. Namun saya yakin skandal yang pernah berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi.”

Pengadil dari Argentina, Nestor Pitana akan mengadili aksi pembukaan antara tuan rumah, Russia dan Arab Saudi di Moscow, esok.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 5:38pm
d