arena

Mesir, Uruguay nanti Salah

MOHAMED Salah kini berusaha untuk kembali cergas sepenuhnya bagi aksi bersama Mesir pada pembukaan Piala Dunia menentang Uruguay, esok dengan pihak lawan turut berharap peledak utama Liverpool itu boleh beraksi di Russia.

Penyerang dan bintang Mesir yang sebelum ini mengalami kecederaan bahu dan menjadi nadi utama buat pasukan dari Afrika Utara itu, berharap dapat melakar kemenangan dalam aksi kumpulan A yang turut membabitkan tuan rumah Russia dan Arab Saudi.

Mesir akan turun menentang Uruguay di Yekaterinburg, manakala Russia bertemu Saudi Arabia pada perlawanan pembukaan.

Salah yang akan berusia 26 tahun pada hari perlawanan itu memberi khabar gembira buat 100 juta penyokong Mesir Rabu lalu apabila dilihat menyertai sesi latihan di Grozny.

Dia diketepikan sejak mengalami kecederaan bahu ketika beraksi bersama Liverpool pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan pasukan itu tewas kepada Real Madrid pada 26 Mei lalu sekali gus menimbulkan keraguan sama ada dia akan beraksi di Piala Dunia atau sebaliknya.

Dia menjalani latihan memanaskan badan bersama rakan sepasukan namun dilihat menerima sedikit rawatan oleh pegawai pasukan Mesir.

“Ada sedikit kemajuan namun belum ada sebarang keputusan sama ada dia akan beraksi atau tidak dan kami mengikuti perkembangannya setiap hari,” kata pengarah pasukan, Ihab Lahita.

Pengendali Mesir dari Argentina, Hector Cuper, 62, akan mengendalikan sidang media sebelum perlawanan hari ini, namun beliau bercadang untuk melihat Salah berlatih sekali lagi sebelum keputusan sama ada pemain itu cergas untuk diturunkan menentang Uruguay yang akan menggunakan kombinasi Luis Suarez dan Edinson Cavani di bahagian serangan.

Bagaimanapun Salah yang menjadi pemain paling cemerlang di dunia musim ini apabila membantu Liverpool mara ke final Liga Juara-Juara berkemungkinan besar akan berada di bangku simpanan esok.

Impian Salah untuk beraksi di Piala Dunia seakan kabur apabila dia mengalami kecederaan selepas dijatuhkan kapten Real Madrid, Sergio Ramos.

Cuper bagaimanapun cuba membuang tanggapan ramai bahawa Mesir adalah pasukan yang mengharapkan kepada seorang pemain namun 44 gol dalam semua pertandingan untuk Liverpool tahun ini dan tanpa kelibat Salah pasti akan memberi tamparan buat pasukan itu.

Salah kini akan menjadi pesaing utama merebut anugerah Ballon d’Or selepas musim pertamanya di Anfield, disamping pemain Argentina Lionel Messi, Cristiano Ronaldo (Portugal ) dan Neymar (Brazil). – AFP

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 8:57am
d