arena

Pahang kembali berlatih 2 Syawal

Oleh Asrol Awang

 

SKUAD Pahang yang kini menduduki tangga ketiga Liga Super akan kembali menjalani latihan pada hari raya kedua.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, keputusan itu bagi memastikan semua pemain cergas apabila bertemu Negeri Sembilan di Paroi, 19 Jun ini.

"Skuad ini hanya meraikan hari raya pertama dan mereka akan kembali menjalani latihan seperti biasa pada hari raya kedua.

"Saya harap mereka berada pada tahap terbaik untuk kembali meraih kemenangan selepas tewas dua perlawanan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Pada dua perlawanan terakhir, skuad Tok Gajah gagal mengutip mata apabila tunduk kepada Harimau Selatan 0-1 di Larkin dan 1-2 di laman sendiri.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan itu berada di tangga ketiga dengan mengutip 24 mata ketika JDT selesa di takhta liga dengan 38 mata manakala Perak di tangga kedua (27 mata).

Justeru, Dollah mahu anak buahnya dapat tampil dengan komitmen terbaik bagi memastikan skuad itu kembali merekodkan kemenangan.

Katanya, kebangkitan perlu dipersembahkan kerana skuad itu akan beraksi pada separuh akhir Piala FA bertemu PKNP FC.

"Saya percaya pemain dapat melakukan yang terbaik buat pasukan dan dua kekalahan kepada JDT tidak melunturkan semangat mereka untuk kembali bangkit," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 12:58pm
d