arena

Longhi anggap 7 lagi aksi ibarat final

Oleh Rizar Mohd Noor

WALAUPUN berbaki tujuh perlawanan lagi yang perlu diharungi sebelum memastikan kejuaraan Liga Super untuk lima musim berturut-turut menjadi kenyataan, Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan berada dalam keadaan selesa.

Sebaliknya, skuad Harimau Selatan menyifatkan aksi tujuh perlawanan itu ibarat pentas final yang cukup getir tatkala semua pasukan yang bakal dihadapi pasti mahu menidakkan kemenangan skuad kendalian Raul Longhi.

Longhi yang berstatus pengendali sementara berjaya membentuk persefahaman jitu antara setiap pemain sambil dibantu Ismail Ibrahim dan Rui Rodrigues ternyata memberi impak positif dengan barisan pemain memberi kerjasama dan corak permainan tersusun.

Apapun, Longhi tidak mahu mendabik dada selepas membimbing JDT kekal di tangga teratas selepas mengharungi 15 perlawanan dengan mencipta 12 kemenangan dan dua keputusan seri untuk mengumpul 38 mata sekali gus meninggalkan Perak yang berada di tangga kedua dengan 11 mata manakala Pahang di tangga ketiga yang ketinggalan 14 mata.

"Falsafah kami dalam setiap perlawanan adalah beraksi dengan bersungguh-sungguh dan kami mengharunginya ibarat aksi final serta menganggap semua pasukan ada kehebatan tersendiri.

"Ya, kami di tangga teratas dan berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan tetapi masih ada baki tujuh perlawanan lagi dan kami tidak boleh terlalu selesa. Sebaliknya, kami harus memberi persembahan konsisten," kata Longhi.

Daripada baki tujuh aksi, JDT harus mengutip mata maksimun dalam tiga perlawanan di laman sendiri tetapi perlu berhati-hati mengharungi empat perlawanan di tempat lawan dan antara cabarannya menentang Perak di Stadium Perak, 11 Julai ini disusuli Kedah di Stadium Darul Aman, tiga hari kemudian.

Namun, skuad Harimau Selatan tidak boleh memandang rendah keupayaan Terengganu yang terlebih dahulu menjadi pencabar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 20 Jun ini selain aksi menentang Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, enam hari kemudian.

Ternyata percaturan taktikal Longhi berjaya menutup mulut pengkritik terutama netizen di laman media sosial apabila memberi ruang untuk pemain muda iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid yang jelas memperagakan aksi konsisten apabila diberi peluang beraksi.

Malah, kombinasi pemain muda dan senior yang dibentuk Longhi mampu mencorakkan permainan tersusun bagi menghadapi baki tujuh perlawanan dalam usaha menggapai impian menjulang kejuaraan liga kelima berturut-turut sekali gus mencipta sejarah bola sepak Malaysia.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 1:34pm
d