arena

Cheryshev terkejut belasah Arab Saudi 

Oleh AFP

DENIS Cheryshev berkata, tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perasaannya apabila berjaya meledak dua gol untuk Russia ketika tuan rumah Piala Dunia itu membelasah Arab Saudi 5-0, dalam perlawanan pembukaan di Moscow, hari ini.

Iury Gazinsky menjaringkan gol pertama pada minit ke-12, dan Cheryshev menambah jaringan kedua pada penghujung babak pertama selepas masuk menggantikan Alan Dzagoev yang cedera.

Artem Dzuyba meledak gol ketiga dan pesta jaringan diteruskan apabila Cheryshev dan Aleksandr Golovin masing-masing meledak gol pada masa kecederaan babak kedua sekaligus mengesahkan kemenangan pertama Russia sejak Oktober lalu dan memulakan kempen Kumpulan A dengan penuh bergaya.

“Tiada perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini,” kata Cheryshev yang dipanggil semula menyertai latihan skuad kebangsaan pada Mac selepas lebih dua tahun diketepikan.

“Saya tidak pernah bermimpi seperti ini. Saya sangat gembira apabila dipanggil menyertai skuad ini tetapi tidak pernah terfikir mampu mencapai detik indah ini,

“Saya gembira kami menang, tetapi kami tidak boleh berhenti setakat ini,” katanya.

Russia menceriakan lebih 80,000 penonton di Stadium Luzhniki selepas gagal meraih sebarang kemenangan sejak lapan bulan lalu dan berada di ranking ke-70, – paling rendah dalam senarai 32 pasukan yang layak ke Piala Dunia kali ini.

Disiarkan pada: June 15, 2018 @ 2:07am
d