arena

'Annuar tak perlu tarik diri'

Oleh Zulfaizan Mansor

CALON Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan Tan Sri Annuar Musa berhak bertanding merebut jawatan nombor satu badan induk itu mengikut proses demokrasi yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Agung FAM berkata semua pihak tidak perlu menuntut Annuar untuk menarik diri kerana statut FAM membenarkan sesiapa saja untuk bertanding merebut jawatan berkenaan.

Malah, Hamidin juga mengharapkan pertembungan satu lawan satu dengan Annuar pada Kongres FAM ke-54, 14 Julai ini menjadi satu pertandingan yang sihat demi kemajuan bola sepak negara.

"Saya perlu nyatakan pandangan peribadi bukan sebagai Setiausaha Agung. Jadi saya fikir Annuar berhak bertanding, menerusi proses demokrasi dan sama ada nak bertanding atau menarik diri, itu hak beliau.

"Kita patut bagi ruang seluas-luasnya kepada Annuar dan saya rasa tak perlu untuk kita minta dia tarik diri atu sebagainya. Keputusannya nanti biar perwakilan yang tentukan.

"Bagi jawatan saya sebagi Setiausaha Agung pula automatik akan tamat pada 14 Julai. Sama ada saya menang atau tidak, saya takkan ada lagi sebagai Setiausaha Agung FAM," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Selain itu, Hamidin enggan memikirkan kedudukannya sebagai calon pilihan, sebaliknya lebih melihat kepada amanah besar yan bakal dipikul presiden baharu FAM nanti.

"Soal siapa menang tidak penting, paling mustahak siapa yang terpilih akan berdepan tugas berat untuk bawa bola sepak Malaysia ke peringkat lebih baik dari sekarang.

"Jadi ini bukan satu pemilihan untuk bandingkan sesiapa, tapi bagi memikul amanah yang bakal diterima untuk memajukan sukan nombor satu negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamidin turut mengesahkan Harimau Malaya akan berdepan Maldives pada 3 November ini, sekali gus melengkapkan enam aksi persahabatan sebelum mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki, hujung tahun ini.

Disiarkan pada: June 16, 2018 @ 11:12pm
d