arena

Van Marwijk berang sikap pengadil

Oleh AFP

JURULATIH Australia, Bert van Marwijk mempertikaikan pengadil dari Uruguay, Andres Cunha susulan kekalahan 1-2 skuad bimbingannya di tangan Perancis, malam tadi yang menyaksikan teknologi video bantuan pengadil (VAR) digunakan buat kali pertama.

Antoine Griezmann menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti yang diperoleh melalui bantuan VAR untuk saingan Piala Dunia bagi membolehkan Perancis mendahului pada minit ke-58.

Walaupun Australia berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti yang disempurnakan kapten, Mile Jedinak empat minit kemudian selepas bola terkena tangan Samuel Umtiti dalam kotak penalti, teknologi garisan gol sekali lagi dimanfaatkan sepenuhnya apabila jaringan Paul Pogba turut disahkan menerusi VAR.

Biarpun memuji keberanian ditunjukkan anak buahnya dalam perlawanan itu, Van Marwijk yang membawa Belanda mara ke final Piala Dunia 2010 tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap Cunha.

“Saya harap mungkin satu masa nanti akan adanya pengadil yang benar-benar jujur, yang mana dia tidak akan pergi ke skrin video,” kata pengendali dari Belanda itu ketika ditanya mengenai reaksinya melihat Cunha tergesa-gesa ke tepi padang bagi melihat rakaman video mengenai kekasaran Josh Risdon ke atas Griezmann.

“Saya nampak dia berdiri di sana. Daripada kedudukan saya, bahasa tubuhnya menunjukkan seperti dia tidak tahu apa-apa.

“Dan selepas itu anda perlu buat keputusan - Perancis atau Australia. Saya mendapat banyak reaksi, katakanlah daripada 10 orang, tujuh daripadanya mengatakan ia adalah penalti dan tiga lagi mengatakan tidak.

“Jadi, saya tidak tahu. Saya perlu melihat rakaman video.”

VAR sudah digunakan dalam saingan Serie A dan Bundesliga manakala Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggunakan teknologi berkenaan ketika Piala Konfederasi di Russia tahun lalu.

Namun, Liga Perdana Inggeris menangguhkan dahulu penggunaannya selepas melakukan ujian ketika saingan piala.

Disiarkan pada: June 16, 2018 @ 11:37pm
d