arena

Poulsen kebanggaan Denmark

Oleh Reuters

SARANSK: Yussuf Poulsen kembali bangkit daripada kesilapannya yang menghadiahkan penalti apabila menjaringkan gol untuk membantu Denmark melakar kemenangan 1-0 ke atas Peru dalam aksi sulung Kumpulan C pada kempen Piala Dunia, sebentar tadi.

 Terdahulu, Peru terlepas peluang bagi membuka tirai jaringan apabila Christian Cueva gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada babak pertama.

 Peru bermula garang dan berjaya merantai pergerakan pemain berbahaya Denmark, Christian Eriksen pada babak pertama dan mereka sepatutnya mendahului perlawanan sebelum waktu rehat selepas Cueva dikasari dalam kotak penalti oleh Poulsen.

 Pengadil perlawanan, Bakary Gassama menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) sebelum menghadiahkan penalti kepada Peru tetapi Cueva yang diberi jolokan 'Aladdin' sekadar menyaksikan sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol.

 Poulsen menghukum peluang yang disia-siakan Peru itu apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-59 hasil gerakan daripada Eriksen yang berjaya mengatasi dua pemain pertahanan lawan.

 Peru cuba bangkit pada lewat perlawanan tetapi beberapa peluang yang mereka peroleh gagal disempurnakan sekali gus membolehkan Denmark meraikan kemenangan pertama pada kempen kali ini.

 

 

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 2:32am
d