arena

Teksi terbabas langgar pejalan kaki

Oleh AFP

 

MOSCOW: Sekurang-kurangnya tujuh cedera awal pagi tadi apabila sebuah teksi Moscow tiba-tiba hilang kawalan beberapa ratus meter dari Kremlin pada hari ketiga Piala Dunia Russia.

Rakaman CCTV yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah teksi kuning membelok ke kanan ketika cuba melepasi kesesakan trafik di laluan sehala.

Ia kelihatan seperti sedang memecut ketika sampai ke kawasan pejalan kaki yang padat dengan orang ramai dan terus bergerak beberapa meter sebelum melanggar papan tanda jalan dan berhenti.

Dua pejalan kaki cuba berdepan dengan pemandu berkenaan dengan cuba membuka pintunya.

Pemandu teksi berkenaan kemudiannya melompat sebelum melarikan diri. Rakaman itu berakhir dengan orang ramai mengejar lelaki berkenaan.

Pihak berkuasa bandaraya Moscow mengenalpasti pemandu berkenaan sebagai seorang lelaki berusia 28 tahun dari Kyrgyzstan yang ditahan polis untuk soal siasat.

"Menurut maklumat awal, tujuh orang memerlukan bantuan rawatan,” kata polis Moscow dalam satu kenyataan.

"Punca awal kemalangan adalah disebabkan pemandu hilang kawalan”

Insiden berkenaan berlaku ketika Moscow dipenuhi pelancong asing yang mengambil gambar di Kremlin dan Red Square.

Polis tidak mengenalpasti kewarganegaraan mereka yang cedera namun agensi berita RIA Novosti memetik sumber yang mengatakan dua rakyat Mexico dan dua dari Azerbaijan cedera dalam kemalangan itu.

 Saksi di tempat kejadian memberitahu, beberapa orang yang dilanggar memakai jersi pasukan bola sepak Mexico. Mexico akan menentang Jerman untuk aksi sulung Piala Dunia di Stadium Moscow Luzhniki pada Ahad.

Kemalangan itu berlaku tidak lama selepas tamat aksi Argentina dan Iceland 1-1 di Stadium Spartak, 13 kilometer di barat laut Red Square. 

 

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 5:20am
d