arena

Croatia fokus jumpa Argentina

Oleh Reuters

PEMAIN tengah Croatia Luka Modric menyifatkan kemenangan 2-0 diraih pasukannya ke atas Nigeria, secara tidak langsung memberi tekanan kepada pilihan utama Kumpulan D, Argentina yang terikat 1-1 dengan Iceland.

Modric menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua selepas Croatia mendahului menerusi gol awal permainan hasil jaringan sendiri pertahanan Nigeria, Oghenekaro Etebo.

Keputusan itu meletakkan pasukannya mendahului kumpulan di atas Iceland dan Argentina, lawan yang bakal ditemui mereka di Nizhny Novgorod, Jumaat ini.

“Mereka (Argentina) mempunyai kualiti tetapi kemenangan ini akan meningkatkan keyakinan kami dan saya berharap pasukan dapat bermain dengan baik ketika menentang mereka nanti,” kata Modric.

“Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar. Mungkin disebabkan menentang pasukan pilihan dalam kumpulan kami... tetapi mereka perlu mencari kemenangan kerana keputusan yang mereka raih hari ini sama sekali tidak dijangka.”

Pemain berkaliber Argentina, Lionel Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti tatkala pasukan Amerika Selatan itu berdepan keputusan mengecewakan, terikat 1-1 dengan lawan yang membuat kemunculan kali pertama di Piala Dunia, Iceland.

Ditanya sekiranya dia gementar sebelum mengambil tanggungjawab mengambil sepakan penalti, pemain terbaik perlawanan, Modric berkata: “Tidak... saya fokus untuk menjaringkan gol. Syukur saya dapat melakukannya. Tidak ada apa yang hendak diperkatakan mengenainya.”

Dalam pada itu, Jurulatih Croatia Zlatko Dalic berkata: “Masih banyak yang perlu dilakukan bagi melangkah mara dari peringkat kumpulan ini tetapi tiga mata ini tentunya amat penting.

“Kami tidak boleh terlalu selesa. Perjuangan masih belum selesai. Ketika ini kami perlu memikirkan perlawanan dengan Argentina.” - REUTERS

 

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 8:35am
d