arena

Murray atur langkah ke Wimbledon

Oleh AFP

ANDY Murray dijadual kembali daripada rehat panjang di Queen’s Club minggu depan susulan kecederaan pinggul, manakala seteru lamanya Novak Djokovic menyertai aksi pemanas badan Wimbledon dengan harapan mengakhiri kemelut prestasi dihadapinya.

Murray tidak menyertai perlawanan kompetitif sejak tersingkir di suku akhir Wimbledon, Julai lalu tatkala kecederaan pinggulnya menjadi punca kepada musim dilaluinya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menjalani pembedahan pada Januari selepas menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat 2017 dan Terbuka Australia, tahun ini.

Murray memberikan komitmen untuk muncul di kejohanan gelanggang rumput di Rosmalen minggu ini sebelum sekali lagi menarik diri pada saat akhir yang sekali gus mencetuskan kegusaran ramai betapa dirinya mungkin tidak dapat kembali tepat pada masanya untuk Wimbledon.

Namun juara dua kali Wimbledon itu sudah menjalani latihan seperti biasa sejak dua minggu lalu selain melakukan tugasan di Queen’s Club bersama rakan senegaranya, Cameron Norrie sekali gus memberi keyakinan dirinya mampu membuat kemunculan semula.

“Saya sudah berlatih sejak beberapa minggu lalu dan apa yang jelas, ada peningkatan pada setiap hari. Saya mula bermain set kira-kira seminggu lalu,” kata Murray.

“Jadi saya mungkin bermain dalam tujuh atau lapan set dan saya mahu merasakan apakah yang saya lakukan pada hari berikutnya selepas bermain beberapa set dengan Cam Norrie.

“Saya diuji oleh pakar fisioterapi pagi ini bagi memastikan yang saya tidak berasa sakit dan hilang pergerakan di bahagian pinggul yang mungkin berlaku sekiranya kamu keletihan.

“Apapun, itu bukan alasannya. Semuanya positif dan saya dapat mengatasinya, jadi saya membuat keputusan untuk meneruskannya.”

Murray dijadual bertemu pemain berbakat dari Australia, Nick Kyrgios pada pusingan pertama Queen’s tatkala dia sedang melakukan persiapan untuk Wimbledon yang bakal bermula pada 2 Julai ini. - AFP

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 10:49am
d