arena

Saingan empat penjuru Terbuka AS

Oleh AFP

DUSTIN Johnson mensia-siakan kelebihan empat pukulan sepanjang enam lubang pertama dan menamatkan pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) berkongsi kedudukan pendahulu dengan tiga pemain lain.

Pemain nombor satu dunia itu menamatkan pusingan dengan bogey di lubang 18 untuk tujuh atas par 77, mengekalkannya di tangga teratas pada tiga atas par 213 bersama-sama Daniel Berger, Tony Finau dan juara bertahan Brooks Koepka.

Berger dan Finau yang memulakan pusingan ketiga lebih awal melonjak ke kelompok teratas dengan empat bawah par 66 di lapangan Shinnecock Hills.

Johnson, memulakan pusingan pada empat bawah par dan mempunyai kelebihan empat pukulan ke atas kelompok pesaing terdekat, bergelut dengan double bogey di lubang kedua. Dia melakukan empat bogey sepanjang sembilan lubang pertama termasuk tiga berturut-turut bermula lubang keenam.

Bagaimanapun ketika menuju lubang terakhir, Johnson masih mendahului permainan dengan satu pukulan namun terpaksa akur terikat dalam kelompok empat pemain di tangga teratas selepas melakukan bogey.

Koepka, yang mencatat dua birdie dan empat bogey untuk pusingan dua atas par 72, menyuarakan kebimbangan dengan keadaan lapangan menjelang pusingan terakhir.

“Saya harap permukaan green cukup bagus untuk bermain esok,” kata Koepka yang menjulang trofi di Erin Hills tahun lalu dengan rekod lapangan 16 bawah par keseluruhan. - AFP

 

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 10:58am
d