arena

Fokus pada Jepun dulu - Muriel

Oleh Reuters

PENYERANG Colombia, Luis Muriel percaya pasukan itu mampu melangkah lebih jauh pada kempen Piala Dunia di Russia berbanding empat tahun lalu yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir di Brazil.

 Pasukan dari benua Amerika Selatan itu akan membuka tirai saingan Kumpulan H menentang Jepun di Saransk esok.

 "Untuk menjadikan kempen Piala Dunia kali ini lebih baik berbanding di Brazil, kami perlu melangkah lebih jauh berbanding apa yang kami lakukan empat tahun lalu. Saya percaya pasukan ini mempunyai kemampuan untuk melakukannya.

 "Sudah pasti kami terlebih dahulu perlu fokus satu demi satu perlawanan dan tidak terlalu memikir ke hadapan. Ia hanya akan mengudang padah kepada kami dan membuatkan kami mudah hilang fokus.

 "Kami perlu fikir dulu mengenai pertemuan dengan Jepun dan apa pula yang akan berlaku selepas itu. Itu adalah kunci utama yang akan membawa kami mencapai apa yang kami mahukan," kata penyerang berusia 27 tahun itu.

Colombia merekodkan pencapaian terbaik dalam penampilan di Piala Dunia di Brazil apabila menewaskan Jepun 4-1 untuk mara ke suku akhir dan mereka tampil dengan corak permainan yang cukup menghiburkan yang menjadikan mereka salah satu pasukan paling popular ketika itu.

 James Rodriguez antara yang paling mencuri tumpuan dan dia sekali lagi dijangka menjadi watak utama Colombia menjelang pertembungan dengan Jepun esok.

 Skuad bimbingan Jose Pekermen tidak menganggap kemenangan empat tahun lalu ke atas Jepun mampu memberi kelebihan kepada mereka pada kempen kali ini.

 "Saya fikir kekuatan utama Jepun seperti pasukan Asia yang lain adalah kepantasan mereka dalam melakukan perubahan taktikal. Mereka pantas mengubah serangan dari bawah ke atas dan atas ke bawah," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 1:15am
d