arena

Portugal 'lebih kuat dari Maghribi'

KRATOVO, Russia: Penyerang Portugal, Andre Silva percaya juara Eropah itu cukup bersedia untuk menundukkan Maghribi pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia berikutnya di Moscow, Rabu ini.

“Saya fikir kami lebih kuat berbanding Maghribi jika kami bandingkan kedua-dua pasukan, tetapi saya tidak berkata ia adalah perlawanan yang mudah bagi kami,” kata Silva kepada wartawan di kem latihan pasukan, hari ini.

“Kami tidak boleh memandang rendah mereka dan perlu menghormati setiap lawan kami. Semua perlawanan di Piala Dunia adalah sukar.”

Silva keluar daripada bangku simpanan ketika Portugal terikat 3-3 menentang Sepanyol pada aksi pembukaan Kumpulan B manakala Maghribi dikecewakan oleh jaringan saat akhir sekali gus tewas 0-1 kepada Iran.

“Mereka tewas perlawanan pertama tetapi ia sudah berlalu dan kini mereka akan fokus untuk meraih kemenangan dan akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Silva yang juga penyerang kelab AC Milan.

“Mereka sudah biasa menentang pasukan di Eropah dan akan melakukan segala-galanya untuk meraih kemenangan.

“Tiada pasukan yang dianggap pilihan. Maghribi memiliki pemain yang menakjubkan dan keputusan perlawanan menentang Iran boleh menjadi berbeza.”

Tonggak Portugal, Cristiano Ronaldo melabel Silva, 22 yang berpindah dari Porto ke Milan, tahun lalu sebagai penggantinya dalam pasukan kebangsaan.

“Seperti saya katakan sebelum ini, satu kebanggaan untuk bermain di sampingnya, dia adalah pemain terbaik di dunia,” kata Silva yang sudah meledak 12 gol dalam 24 penampilan bersama skuad kebangsaan.

“Saya amat gembira untuk berada dalam satu pasukan dengannya.” - AFP

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 5:58pm
d