arena

Belgium bergaya ratah Panama

Oleh Reuters

SOCHI, Russia: Kreativiti dan kekuatan yang dimiliki Belgium nyata terlalu sukar ditandingi pendatang baharu Piala Dunia, Panama apabila tewas 0-3 dalam aksi sulung Kumpulan G, sebentar tadi.

 Belgium di bawah kendalian Roberto Martinez berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan voli cantik dari dalam kotak penalti yang dilakukan Dries Mertens dua minit selepas babak kedua bersambung.

 Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku menambah derita Panama apabila meledak gol kedua buat Belgium pada minit ke-69 menerusi tandukannya hasil hantaran Kevin de Bruyne yang mendapat lorongan daripada Eden Hazard.

 Lukaku sekali lagi membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila menjaringkan gol ketiga sekali gus melengkapkan kemenangan Belgium apabila tenang menyudahkan lorongan Hazard pada minit ke-75.

 Keyakinan Belgium yang tidak pernah tewas dalam 20 perlawanan terakhir sebelum ini sudah pastinya meningkat terutama menjelang pertemuan menentang Tunisia dan England yang turut diundi dalam Kumpulan G.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 1:32am
d