arena

Salah sudah cergas

Oleh AFP

SAINT PETERSBURG: Mohamed Salah disahkan cergas menjelang perlawanan penting Mesir bertemu Russia pada awal pagi esok dan jurulatih, Hector Cuper pula optimis penyerang itu akan bermain.

Tetapi pengurus Russia, Stanislav Cherchesov pula percaya tuan rumah Piala Dunia itu mempunyai cara untuk menghalang kemaraan Salah apabila pasukan itu bertemu di Saint Petersburg.

Salah menjaringkan 44 gol dalam musim pertama bersama Liverpool dan tidak sabar membuat kemunculan sulung selepas tidak beraksi pada perlawanan pembukaan negara kelahirannya apabila tewas 0-1 kepada Uruguay berikutan kecederaan bahu.

“Salah kembali cergas,” kata Cuper. “Kami sering melakukan ujian fizikal terakhir sebelum menamakan barisan pemain.

“Hari ini kami melakukan ujian terhadapnya untuk melihat keadaannya. Saya berharap dia cergas untuk bermain, saya pasti dia boleh bermain. Dia adalah percaturan penting buat pasukan kami.”

Cherchesov bagaimanapun berkata Russia mempunyai perancangan menghalang Salah, biarpun dia diturunkan.

“Tahap dia boleh bermain hanya dia dan jurulatih yang tahu tetapi kami mempunyai misi dan kami akan teruskan misi itu,” kata Cherchesov.

“Saya yakin terhadap pasukan saya, saya yakin dengan pemain saya dan saya akan memberi jawapan mudah: kami bersedia melakukan ini dan kami akan lakukannya.”

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 2:42am
d