arena

Misi The Turtles 'bedil' UKM FC

Oleh Faizul Azlan Razak

TERENGGANU FC II (TFCII) tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas UKM FC jika mahu memperbaiki kedudukannya di tangga tercorot Liga Perdana pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.   

Kapten pasukan, Mohd Hasbullah Awang, berkata hanya kemenangan saja mampu mengubah nasib pasukannya dan pemain yang diturunkan dalam perlawanan itu nanti mesti berjuang bermati-matian.   

Katanya, dia yakin ketua jurulatih, Mustaffa Kamal Abd Wahab mempunyai perancangan dan strategi untuk memastikan pasukannya mampu melakar kemenangan ke atas UKM FC yang kini menghuni tangga kelima liga.   

"Jika mahu mengubah nasib pasukan, kita tidak boleh kalah atau seri bertemu UKM FC sebaliknya tiga mata penuh wajib dikutip dalam perlawanan ini.   

"Kita sudah tidak mempunyai banyak masa dalam baki perlawanan yang ada ini dan apabila turun bermain di laman sendiri sememangnya kemenangan amat diperlukan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.   

Pemain pertahanan berusia 35 tahun itu berkata, tiga mata penuh yang dicari juga mampu melonjakkan semangat pemain selepas pasukan gagal meraih kemenangan dalam lapan perlawanan yang ditempuhi.   

Hasbullah berkata, mereka tidak boleh memandang mudah kemampuan UKM FC kerana mereka juga memiliki senjata tersendiri yang mampu mengecewakan TFCII sekiranya pemain mengamalkan sikap leka seperti perlawanan sebelum ini.   

"Saya harap rakan sepasukan mampu memberikan aksi lebih 100 peratus dalam perlawanan ini dan tidak lagi memberikan gol mudah kepada pihak lawan.   

"Jika kita melihat perlawanan sebelum ini ketika bertemu FELDA United, kita terlebih dulu mengejutkan mereka, namun kerana kelekaan, pasukannya dihukum dengan dua gol mudah dan masalah ini diharap tidak lagi berulang" katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 7:26pm
d