arena

Senegal hancurkan harapan Lewandowski

Oleh AFP

KEMPEN Piala Dunia bagi penyerang prolifik Poland, Robert Lewandowski dibuka dengan kekecewaan apabila Senegal berjaya mengekang pergerakkannya selepas mereka menang 2-1, di Moscow, awal pagi tadi.

Pemain berusia 29 tahun itu tiba di Russia dengan berbekalkan status selaku penjaring terbanyak Bundesliga buat kali ketiga dan mempunyai 16 rekod jaringan bersama Poland dalam 10 aksi kelayakan Piala Dunia.

Penyerang Bayern Munich itu juga mengakui dia mempunyai alasan untuk membuktikan sesuatu selepas kecewa pada Euro 2016 apabila hanya menjaringkan satu gol ketika Poland mara ke suku akhir.

Namun Senegal memastikan dia tidak mampu melakukan apa-apa di Stadium Spartak dan menghalangnya daripada melakukan sebarang percubaan tepat hingga minit ke-50.

“Kami tahu bagaimana pergerakkan pasukan itu serta Lewandowski adalah senjata utama mereka dan kami menggunakan sistem yang tepat untuk bermain dengan mereka,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

Perlawanan itu dikatakan bakal menyaksikan pertarungan antara penyerang Lewandowski dan Senegal, Sadio Mane namun, kedua-duanya gagal menemui penyudah yang diharapkan.

Mane berjaya membantu jaringan pembukaan Senegal dan dilihat dapat berganding bahu dengan selesa bersama pemain sayap Torino, M’baye Niang bagi mengucar-ngacirkan pertahanan Poland.

Lewandowski, yang digembar-gemburkan berpindah ke Real Madrid selepas ejennya menyatakan pemain itu mahukan ‘cabaran baharu’ bulan lalu, mungkin mengharapkan aksi lebih baik apabila Poland bertemu Colombia, Ahad ini.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 7:50am
d