arena

Seluruh Afrika 'puji' Senegal

Oleh AFP

SENEGAL terbukti menjadi penyelamat negara Afrika di Piala Dunia 2018 selepas empat wakil lain benua itu tewas dalam aksi di Russia.

Selepas Nigeria dan Algeria masing-masing mara ke peringkat kalah mati empat tahun lalu, edisi 2018 dilihat seakan menjadi pentas mundur buat wakil-wakil Afrika.

Malah, keadaan bertambah buruk apabila Mesir muncul pasukan pertama tersingkir kali ini selepas mengutip kekalahan kedua dengan tumbang 1-3 kepada Russia semalam.

Nasib sama kini menunggu Nigeria, Maghribi dan Tunisia sekiranya tewas pada aksi kedua nanti.

Ketiga-tiga pasukan itu pulang ‘kosong’ dalam aksi sulung dengan Nigeria mengalami kekalahan 2-0 di tangan Croatia manakala Maghribi 1-0 kepada Iran dengan Tunisia akur kepada England 2-1 menerusi jaringan minit akhir Harry Kane.

Melihat kekalahan wakil Afrika yang lain, Senegal bangkit untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Poland dalam aksi Kumpulan H semalam.

Meskipun Sadio Mane dilihat sebagai pemain berbahaya, tetapi kepantasan Mbaye Niang dan kesilapan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny memastikan kemenangan milik Senegal selepas jaringan sendiri Thiago Cionek meletakkan Poland di depan.

The Lions of Teranga kini sudah memasang impian untuk mengulangi pencapaian suku akhir edisi 2002 yang menyaksikan Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama.

“Sudah tentu kami mewakili Senegal tetapi saya yakin seluruh negara Afrika berada di belakang kami,” kata pengendali Senegal, Aliou Cisse. - AFP

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 9:29pm
d