arena

Dari Iceland ke Moscow

Oleh Reuters

VOLGOGRAD, Russia: Berbekal semangat Viking, dua peminat Iceland mengembara sejauh 5,000 kilometer dengan kereta buatan Russia, Lada untuk menyokong pasukan mereka di Piala Dunia.

Pekerja pekhidmatan pos Kristbjorn Hilmir Kjartansson dan rakannya Gretar Jonsson, seoang pelajar perfileman mengambil masa 14 hari untuk perjalanan dari Reykjavik ke Volgograd.

“ia satu semangat pengembaraan,” kata Jonsson sewaktu menunjukkan kereta berkenaan di Volgograd Arena hari ini.

“Anda tahu Viking adalah penjelajah, pelayar dan pejuang yang hebat jadi kami mengambil semangat mereka untuk pengembaraan ini. Ia memang gila tetapi sungguh menyeronokkan.”

Kedua-dua mereka yang berusia 30 tahun, mengecat kereta berkenaan dengan warna merah, putih dan biru lambang pasukan kebangsaan mereka sebelum mengambil feri dari Iceland ke Denmark.

Mereka kemudiannya memandu ke Jerman, merentasi Poland, Lithuania dan Latvia sebelum akhirnya tiba di Moscow, di mana mereka menyaksikan Iceland mengikat juara dua kali Argentina 1-1 Sabtu lalu.

Mereka kemudiannya memandu ke selatan menuju ke Volgograd sebelum perlawanan kedua pasukan menentang Nigeria pada Jumaat.

Kjartansson terfikir untuk menyertai Piala Dunia selepas memenangi Lada, yang mempunyai logo kelihatan seperti kapal layar Viking menerusi pertandingan yang dianjurkan sebuah agensi pelancongan.

Mereka hanya berdepan satu masalah ketika perjalanan itu apabila enjin kereta mengalami kepanasan melampau di Moscow.

Sekumpulan rakyat tempatan segera membantu mengatasi masalah itu. Kedua-dua peminat itu mahu memandu ke Rostov-on-Don untuk aksi terakhir Kumpulan D menentang Croatia sebelum pulang ke negara mereka.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 3:07am
d