arena

Mexico didenda penyokong jerit 'Puto'

Oleh Reuters 

PENYERANG Mexico, Javier Hernandez memohon penyokong bola sepak negaranya supaya menghentikan sorakan berunsur negatif ketika menyaksikan perlawanan Piala Dunia yang menyaksikan FIFA sekali lagi mendenda Persekutuan Bola Sepak Mexico (FMF) atas kesalahan penyokong mereka.

FIFA mengenakan denda sebanyak RM40,206 (CHF 10,000) ke atas Mexico dengan alasan ‘diskriminasi dan sorakan menghina ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Jerman, Ahad lalu.

Penyokong Mexico didapati menggunakan perkataan slanga ke atas pekerja seks lelaki di temasya berkenaan dan kumpulan lelaki songsang berpendapat ia lebih kepada tindakan ‘homophobic’.

FMF disahkan melakukan sorakan berunsur negatif itu sebanyak 12 kali ketika kempen kelayakan Piala Dunia, menerima amaran atas dua kesalahan dan bakinya dikenakan hukuman denda.

Hernanddez memuat naik mesej di Instagram, memohon penyokong menghentikan sorakan sedemikian.

“Buat semua penyokong Mexico di stadium, jangan jerit ‘Puto’,” kata Hernandez. “Jangan sekali lagi menanggung beban.”

FIFA juga mendenda Serbia atas kesalahan penyokong mereka memaparkan mesej berbaur politik ketika perlawanan pembukaan menentang Costa Rica dalam aksi Kumpulan E, Ahad lalu.

“Jawatankuasa Disiplin FIFA mengenakan denda kepada Persatuan Bola Sepak Serbia dengan nilai RM40,206 (CHF 10,000) kerana penyokong Serbia memaparkan sepanduk yang berbaur serangan dan politik ketika perlawanan antara Serbia dan Costa Rica,” kata FIFA.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 8:24am
d