arena

Skuad muda Nigeria sedia gempur Iceland

Oleh AFP

NIGERIA akan berdepan cabaran Iceland untuk menyelamatkan kempen Piala Dunia mereka kali ini, namun tetap berjaga-jaga dengan kemampuan skuad Nordic itu yang berjaya memberi tentangan ke atas pasukan lebih hebat.

Nigeria di bawah kendalian Gernot Rohr yang membawa skuad termuda ke Russia dengan purata usia sekitar 25 tahun sekadar memenangi satu daripada 13 aksi terakhir di saingan berprestij itu.

Mereka berjaya mara ke pusingan kalah mati empat tahun lalu, namun tewas 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D pada edisi kali ini di tangan Croatia di Kaliningrad, hasil jaringan sendiri Oghenekaro Etebo dan sepakan penalti Luka Modric.

Pasukan itu yang turut membariskan penjaga gol berusia 19 tahun, Francis Uzoho, jauh berbeza dan tidak dikenali berbanding barisan pemain yang tunduk kepada Perancis pada peringkat 16 pasukan terbaik empat tahun lalu.

“Kadang kala kami sedikit naif pada situasi bola mati, namun kami akan berusaha menangani situasi ini.

“Kami hanya satu mata di belakang Iceland dan peluang itu masih ada, jadi teruskan berfikiran positif. Biarkan mereka belajar daripada kekalahan ini dan tampil dengan aksi lebih baik,” kata Rohr.

Sementara itu, Iceland masih lagi terbuai dengan pujian selepas jurulatihnya, Heimir Hallgrimsson menyifatkan mereka memperagakan ‘contoh dalam buku teks’ apabila berjaya mengekang Argentina.

Messi menegaskan ‘Iceland enggan bermain bola sepak’ namun pasukan kerdil yang tampil buat kali pertama di saingan Piala Dunia itu tidak mahu melayan kritikan penyerang terbabit.

“Mungkin dia akan lebih gembira jika kami bermain secara menyerang dan tewas 5-0. Semua orang berhak memiliki pandangan mengenai perlawanan itu namun kami tidak kisah,” kata penjaga gol, Hannes Halldorsson.

Mengulas aksi bertemu Nigeria di Volgograd, penjaga gol berusia 31 tahun itu mengakui ia bakal menjadi ‘aksi yang lebih terbuka’.

“Nigeria adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Mereka begitu pantas dan bermain lebih ringkas berbanding Argentina. Ia adalah perlawanan yang berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 9:33am
d