arena

'Piala Dunia harus kembali ke England' 

Oleh AFP

MOSCOW: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter berkata Piala Dunia harus kembali ke England apabila tiba giliran Eropah mendapat hak sebagai tuan rumah kejohanan terulung itu.

Blatter tiba di Moscow untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia atas jemputan Presiden Russia, Vladimir Putin meskipun digantung atas tuduhan rasuah sepanjang 17 tahun mengemudi badan induk itu.

Malah, beliau menafikan kehadirannya akan memalukan penggantinya, Gianni Infantino.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan Infantino. Dia sepatutnya tidak malu kerana saya akan menonton beberapa perlawanan,” kata Blatter kepada pemberita.

“Saya di sini bukan untuk mencampur aduk sukan dan politik.”

Blatter berkata, beliau sudah menghadiri majlis makan malam bersama Putin semalam dan mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran Russia.

Beliau muncul antara individu yang memainkan peranan menghadiahkan hak tuan rumah Piala Dunia kepada Russia dan lebih kontroversi - edisi 2022 di Qatar.

Proses undian bagi kejohanan terulung itu dicemari dengan unsur rasuah.

Pada minggu lalu, FIFA menggunakan peraturan baharu - semua ahli boleh membuang undi berbeza dengan sebelum ini hanya 24 ahli jawatankuasa eksekutif - menyaksikan tuan rumah edisi 2026 dihadiahkan kepada Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Ditanya negara manakah sepatutnya menjadi tuan rumah seterusnya, Blatter berkata: “Saya menyuarakan pendapat kejohanan ini perlu kembali ke England.”

England menjadi salah satu negara yang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 7:14pm
d