arena

Rahsia Messi dalam tangan Rakitic

Oleh Reuters

IVAN Rakitic memberi amaran kepada rakan sepasukannya di Croatia berhubung kebangkitan Argentina, yang dipacu pemain berbakat yang amat dikenalinya iaitu rakan sekelab Lionel Messi apabila kedua-dua pasukan bertemu di Nizhny Novgorod, awal pagi esok.

"Mereka sudah kehilangan mata dan mereka tidak harus melepaskan lebih banyak peluang jadi kami menjangkakan Argentina akan lebih agresif dan memandangkan mereka mempunyai pemain terbaik dunia, kami sedar bahawa mereka mampu menyusahkan kami,” kata pemain tengah Croatia itu menjelang aksi Kumpulan D.

Croatia melangkah ke perlawanan itu berada di tangga teratas kumpulan selepas memulakan kejohanan dengan kemenangan 2-0 ke atas Nigeria pada Sabtu manakala Argentina terikat 1-1 dengan Iceland pada hari sama, ketika Messi gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua.

Rakitic, 30, yakin pasti berlakunya perlawanan sengit dengan rakan sepasukan di Barcelona memimpin pasukan.

"Dalam perlawanan pertama Argentina, Leo membuat lapan percubaan dan peluang penalti. Dia mungkin menjaringkan dua atau tiga gol dengan mudah tetapi ia tidak menjadi.

Rakitic menghabiskan empat musim terakhir bergandingan dengan Messi di Barcelona dan tiada guna untuk mencuba sesuatu yang istimewa dalam menyekat kemaraan kapten Argentina.

"Kami perlu bertanding dan menjangkakan sesuatu yang tidak dijangka.

"Kami sedar pastinya sukar untuk menentang mereka dan itulah sebabnya kami perlu yakin dengan aset kami dan mempamerkan permainan sempurna.

"Saya fikir Leo adalah pemain terbaik dan saya mendoakan kejayaannya di Piala Dunia tetapi bukannya esok," katanya.

Lagi berita Piala Dunia 2018

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 7:46pm
d