arena

England pertaruh Rashford, Loftus-Cheek

Oleh AFP

SAINT PETERSBURG: Jurulatih England, Gareth Southgate sedia menurunkan Marcus Rashford dan Ruben Loftus-Cheek dalam perlawanan menentang Panama, Ahad ini, berbanding Raheem Sterling dan Dele Alli.

 Wartawan AFP difahamkan England mahu meletakkan Rashford sebagai penyerang bersama Harry Kane dan Loftus-Cheek di bahagian tengah bersama Jesse Lingard and Jordan Henderson.

 Keputusan untuk tidak menurunkan Alli bukan suatu kejutan berikutan kecederaan dialami pemain berusia 22 tahun berkenaan ketika anak buah Southgate merakam kemenangan dalam aksi pembukaan menentang Tunisia, minggu lalu.

 Bagaimanapun, ketiadaan Sterling di Nizhny Novgorod adalah satu kejutan kerana dia kerap diturunkan dalam kesebelasan utama Southgate biarpun penyerang Manchester City itu gagal menyudahkan banyak peluang dalam perlawanan pertama, sebelum ini.

 Perlawanan menentang Panama yang disifatkan pasukan paling lemah dalam Kumpulan G, membolehkan England memberi peluang kepada pemain seperti Loftus-Cheek dan Rashford membuat penampilan.

 Kedua-dua pemain berkenaan juga mempamerkan aksi cemerlang ketika England menentang Tunisia dengan Rashford menjaringkan gol menarik ketika aksi persahabatan menentang Nigeria, awal bulan ini.

 England akan menyertai 16 pasukan terbaik mara ke pusingan seterusnya jika menewaskan Panama dan Tunisia pula gagal menewaskan Belgium.

 Sementara itu, Alli dalam Twitter berkata; "Saya amat kecewa kerana mengalami kecederaan pada Isnin lalu. Saya akan melakukan sedaya upaya untuk pulih sepenuhnya dan kembali cergas secepat mungkin!".

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 9:04pm
d