arena

Marwijk tuntut 'kepingan terakhir'

Oleh AFP

SAMARA, Russia: Jurulatih Australia, Bert van Marwijk berkata skuad itu perlu mencari “kepingan teka teki terakhir” jika mereka mahu kekal bersaing di Piala Dunia susulan keputusan seri 1-1 kepada Denmark sebentar tadi.

Kapten Australia, Mile Jedinak memperoleh penalti menerusi bantuan VAR pada babak kedua bagi membolehkan Socceroos memperoleh mata pertama di Russia selepas Christian Eriksen terdahulu menjaringkan gol pembukaan, memberikan Australia peluang untuk ke kelompok 16 pasukan terakhir.

Van Marwijk memuji pasukannya yang “bertambah baik setiap hari” tetapi meluahkan kebimbangan mengenai kekurangan penyudah selepas pasukannya terlepas peluang mencipta kemenangan di babak kedua di Samara.

Keputusan seri itu selepas pasukan itu tewas 2-1 kepada Perancis dalam perlawanan pembukaan.

“Kami mempunyai peluang untuk menang dan berhak untuk menang, jadi saya kecewa,” katanya yang berasal dari Belanda.

“Saya bersetuju sepenuhnya yang kami sepatutnya menang. Ketika menentang Perancis, kami juga berhak untuk memperoleh lebih, saya rasa.

“Kami mempunyai satu mata dan kami berhak memperoleh empat mata daripada dua perlawanan ini.

“Kepingan terakhir teka teki yang perlu ada adalah kami perlu melakukan perubahan dengan menjaringkan satu gol lebih daripada lawan.

“Saya berpuas hati dengan semua perkara yang saya minta (daripada pemain). Daripada hari pertama pasukan ini semakin bertambah baik setiap hari dan mereka mengejutkan saya sekali lagi hari ini.”

Australia perlu menewaskan Peru dalam perlawanan kumpulan terakhir pada Selasa ini bagi membolehkan melangkah ke pusingan seterusnya.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 12:05am
d