arena

Neymar tak perlu takut

Oleh Agensi

NEYMAR tidak perlu gusar terhadap keselamatan dirinya apabila turun beraksi menentang Costa Rica hari ini, kata jurulatih pasukan itu, Oscar Ramirez.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu dikasari 10 kali ketika mereka terikat 1-1 dengan Switzerland, sekali gus muncul selaku pemain paling kerap dikasari di Piala Dunia selepas Alan Shearer di perlawanan menentang Tunisia pada edisi 1998.

Aksi pemanas badan bertemu Austria sebelum ini turut menyaksikan Neymar menerima ‘layanan’ sama dengan bos Selecao, Tite mengakui pemain berusia 26 tahun itu terlalu terburu-buru untuk pulih daripada kecederaan patah tulang metatarsalnya, Februari lalu.

Terjahan keras tetap dapat disaksikan ketika Costa Rica tewas 0-1 di tangan Serbia sebelum ini, namun Ramirez menegaskan pemainnya tidak akan memperaga corak permainan sama terutama selepas nasib mereka di Piala Dunia bergantung pada keputusan perlawanan terbabit.

“Neymar adalah pemain yang sungguh berbakat dan memang benar kita menyaksikan bagaimana pemain cuba menyekatnya dengan pendekatan yang sedikit agresif.

“Kami ada strategi yang tersendiri dan selepas itu kita lihat apa yang akan berlaku. Mungkin dua pemain akan mengawal pergerakannya.

“Namun yang pasti, kami tidak mahu sebarang terjahan melulu ke atas Neymar. Pemain saya tahu apa yang perlu dilakukan.”

Mengulas lanjut mengenai dakwaan wujudnya perpecahan dalam kalangan pemain senior pasukan itu, Ramirez pantas menafikan perkara terbabit.

“Memang benar ada pemain yang rapat antara sesama mereka namun tiada kem dalam pasukan ini. Tiada masalah dalam pasukan dan saya tidak perlu masuk campur pun dengan situasi ini.

“Tiada perpecahan yang berlaku dalam pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 8:43am
d