arena

Pahang yakin jinakkan PKNP

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Dollah Salleh yakin kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan Selasa lalu, menambah keyakinan Pahang untuk mencatat keputusan membanggakan pada aksi separuh akhir pertama Piala FA bertemu PKNP FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, keputusan positif itu perlu dikekalkan untuk menafikan kelab dari Perak itu beroleh kemenangan.

“Saya harap semua pemain dapat mempamerkan persembahan menyakinkan terutama mencatat kemenangan selesa sebagai bekalan apabila bertemu pada separuh akhir kedua nanti.

“Beraksi di laman sendiri pada aksi pertama perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan misi ke final. Berdasarkan persembahan mantap dalam aksi Liga Super ketika menewaskan Negeri Sembilan, peluang untuk meneruskan rentak kemenangan sangat cerah,” katanya.

Beliau berkata, persembahan terbaik Issey Nakajima dan Norshahrul Idlan Talaha yang menjaringkan gol pada pertemuan dengan skuad Hobin Jang Hobin itu perlu diteruskan.

“Saya percaya semua pemain akan lebih bersemangat dan mereka mampu melakukannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penyerang Brazil, Patrick Cruz yang terlepas beberapa perlawanan dijangka kembali mempertajamkan jentera serangan skuad Tok Gajah.

Difahamkan, pemain berumur 25 tahun itu sudah pulih daripada kecederaan paha kanan untuk membantu Pahang dalam misi ke pentas final piala berprestij itu.

Kehadiran Cruz amat ditagih skuad Tok Gajah yang ketandusan jaringan sebelum mereka bangkit menewaskan Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 3:23pm
d