arena

MOM tak layan rayuan

Oleh Jugjet Singh

SEBANYAK 17 persatuan sukan kebangsaan mencuba nasib dengan mengemukakan rayuan untuk bertanding secara percuma di bawah kategori A di Sukan Asia Jakarta - Palembang, namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) enggan memberikan ‘duit raya’, semalam.

Malah, ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Asia Indonesia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menegaskan hanya mereka yang layak secara merit iaitu berada di ranking empat terbaik berhak mendapat tempat untuk bertanding di bawah kategori A.

Semua atlet bertanding di bawah kategori A di Sukan Asia akan ditanggung sepenuhnya, manakala bagi kategori B pula perlu menanggung sendiri kos dan boleh menuntut semula perbelanjaan jika menang sekurang-kurangnya satu pingat gangsa.

“Kami menerima 17 rayuan tetapi hanya akan melayan penambahan tiga atlet dan 10 pegawai, manakala selebihnya terpaksa ditolak berdasarkan ranking semasa dan pencapaian sebelum ini.

“Mana-mana atlet dan pasukan perlu berada di ranking empat terbaik Asia untuk beraksi dalam kategori A manakala selebihnya akan beraksi di bawah kategori B. Sebelum ini kontinjen Malaysia akan diwakili 570 atlet/pegawai dan sekarang menjadi 583 orang, masih jumlah yang besar,” kata Azim ketika ditemui pemberita di Wisma MOM, hari ini.

Sebelum ini, pasukan hoki wanita yang dilaporkan sepatutnya bertanding dalam kategori A, akan ke Sukan Asia menerusi tiket B jika Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bersedia menanggung sepenuhnya perbelanjaan.

“Terdapat kekeliruan dalam isu skuad hoki wanita di mana mereka kini menduduki ranking kelima Asia biarpun menamatkan saingan di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di tempat keempat di Donghae, Korea Selatan bulan lalu, tetapi kejohanan itu bukan menjadi salah satu kayu pengukur.

“MHC ada mengemukakan rayuan tetapi kami mengatakan tidak kepada mereka,” kata Abdul Azim.

Antara persatuan sukan yang mengemukan rayuan untuk bertanding di bawah kategori A tetapi pemohonan mereka ditolak termasuklah - pasukan bola sepak lelaki, badminton wanita, bola keranjang lelaki, bola baling, kabaddi, sepak takraw, menembak, berenang berirama, ping pong, jet-ski dan ragbi.

Dalam pada itu, Abdul Azim berharap Malaysia akan menang sekurang-kurang 33 pingat atau lebih di Sukan Asia 2018 berikutan jumlah atlet kebangsaan dihantar ke sana adalah lebih besar berbanding di Incheon, pada 2014.

Sementara itu, Abdul Azim menganggap isu video memaparkan atlet terjun minum arak selesai selepas mereka membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Semua atlet terjun berkenaan sudah memohon maaf, jadi buat masa sekarang mereka boleh terus beraksi di Sukan Asia,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 7:43pm
d