arena

Brazil kembali temui sentuhan

ST PETERSBURG: Jaringan lewat Philippe Coutinho dan Neymar memberikan Brazil kemenangan pertama pada Piala Dunia berdepan Costa Rica di St Petersburg sebentar tadi dan menghantar lawan dari Amerika Tengah itu pulang awal.

Jam sudah melepasi 90 minit dan juara lima kali itu tampak akan berdepan keputusan seri buat kali kedua yang mengecewakan apabila Marcelo melambungkan bola dari kiri dan pemain gantian Roberto Firmino menanduk kepada Gabriel Jesus.

Sentuhan pertama Jesus mengatasi pertahanan dan jatuh ke laluan Coutinho yang menyambar dan meledak melepasi penjaga gol Keylor Navas dari jarak enam meter untuk jaringan keduanya dalam temasya berkenaan.

Keputusan itu memberikan Brazil empat mata daripada dua perlawanan selepas seri 1-1 berdepan Switzerland dalam perlawanan pembukaan dan kini mengatasi Serbia di kedudukan teratas Kumpulan E.

Serbia akan menentang Swiss awal pagi nanti manakala Costa Rica sudah tersingkir selepas dua kekalahan setakat ini.

Neymar menambah jaringan kedua menerusi sepakan terakhir perlawanan selepas serangan balas pantas ketika Costa Rica cuba mencari gol penyamaan.

“Kami ada perancangan, strategi, idea untuk mengawal lawan dengan atau tanpa bola,” kata jurulatih Costa Rica, Oscar Ramirez.

Brazil memiliki 71.7 peratus kawalan bola tetapi di sebalik dominasi ditonjolkan, mereka sukar mendapat peluang.

“Kami berhak menang,” kata penyerang Barcelona, Coutinho. “Bola itu tiba dan Gabriel menghadang dengan baik dan saya berjaya menjaringkan gol. Perkara yang paling penting ialah menang.” - REUTERS

 

 

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 11:44pm
d