arena

Usah campur politik dan bola sepak - Petkovic

Oleh AFP

POLITIK dan bola sepak tidak boleh dicampuradukkan, kata jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic selepas dua pemainnya meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Serbia bermotifkan politik.

Jaringan saat akhir Xherdan Shaqiri memastikan kebangkitan hebat buat Switzerland dalam aksi Kumpulan E di Kaliningrad selepas pemain tengah Arsenal Granit Xhaka menyamakan kedudukan susulan gol pembukaan daripada Aleksandar Mitrovic.

Kedua-dua Shaqiri dan Xhaka mengimbau asal usul mereka di Kosovo, bekas daerah di Serbia, yang mencetuskan ketegangan sebelum dan sewaktu perlawanan awal pagi tadi.

Kedua-dua pemain itu meraikan jaringan mereka dengan membuat gaya 'dua helang' dengan tangan mereka mewakili bendera Kosovo, yang dilihat sebagai simbol penentangan.

Biarpun kemenangan itu meletakkan Switzerland di kedudukan teratas kumpulan untuk mengatasi kumpulan mencabar yang turut membabitkan Brazil, Petkovic nyata tidak berpuas hati dengan cara pemainnya meraikan gol.

“Anda tidak sepatutnya mencampuradukkan politik dan bola sepak, adalah lebih baik anda menjadi peminat dan menunjukkan rasa hormat,” kata Petkovic selepas perlawanan itu.

"Jelas sekali mereka mempamerkan emosi. Saya rasa baik di dalam mahupun di luar padang, kita perlu menjauhkan politik daripada bola sepak dan perlu fokus kepada sukan yang menyatukan semua.”

Shaqiri diejek sepanjang permainan oleh penyokong Serbia dalam perlawanan berkualiti tinggi itu, namun penyerang Stoke City itu membalasnya dengan jaringan kemenangan pada saat akhir.

"Pasti wujud emosi dalam bola sepak dan anda boleh lihat apa yang saya lakukan dan ia hanya sekadar emosi,” katanya merujuk kepada jaringan kontroversinya.

"Saya gembira dapat menjaringkan gol, itu saja,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 8:37am
d