arena

'Messi bukan pemimpin'

Oleh Agensi

LIONEL Messi tidak memiliki kualiti kepemimpinan seperti yang ada pada Cristiano Ronaldo, kata bekas pemain Barcelona, Emmanuel Petit.

Messi bergelut untuk mencipta impak pada Piala Dunia kali ini apabila Argentina berdepan prospek untuk tersingkir awal susulan tewas 0-3 di tangan Croatia, semalam.

Anak buah Jorge Sampaoli itu masih berpeluang mara ke pusingan kalah mati tetapi perlu menewaskan Nigeria. Namun, Petit yang memenangi Piala Dunia 1998 bersama Perancis mengakui Messi perlu bertanggungjawab atas prestasi hambar pasukannya itu.

“Dia bukanlah seorang pemimpin. Dia tidak sama dengan Ronaldo. Memang dia adalah antara pemain terbaik dunia, namun dia perlu menunjukkan mentaliti sebegitu.

“Dia perlu bangun! Apabila semuanya berjalan lancar di Barcelona, dia menjadi pemain yang hebat.

“Kita sudah saksikan dalam Liga Juara Juara apabila situasi tidak berjalan dengan baik, dia pun lesap di atas padang.

“Dia bukan seperti dahulu. Dia tidak berlari dan sekadar berjalan. Dia tidak kisah pada bola. Ayuhlah Messi,” katanya.

Dalam masa sama, Petit menjelaskan penyingkiran Argentina daripada peringkat kumpulan boleh menjadi peringatan supaya dapat kembali bangkit pada masa akan datang.

“Komunikasi pasukan ini begitu teruk, tiada keyakinan dan tiada kepercayaan antara satu sama lain. Melihat kepada ini, saya tidak rasa mereka boleh layak ke pusingan kedua.

“Sangat memalukan jika mereka layak kerana ketika menentang Iceland, mereka begitu hambar dan tiada inspirasi langsung.

“Pengurus juga banyak melakukan kesilapan sejak kejohanan ini bermula seperti pemilihan pemain, pertukaran dan sebagainya.

“Anda lihat ramai pemain hebat pernah membarisi Argentina sebelum ini namun pasukan ini jauh berbeza. Mereka memang teruk,” katanya.

Lagi berita Piala Dunia 2018

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 2:53pm
d