arena

El-Hadary pemain tertua

Oleh Reuters

NIZHNY NOVGOROD: Isnin ini bakal menjadi penentu sama ada Essam El-Hadary berjaya memperoleh peluang terakhir untuk melakar rekod sebagai pemain tertua pernah beraksi di Piala Dunia.

Bagaimanapun, penjaga gol yang biasanya menjadi ketua pasukan Mesir itu masih belum pasti beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Arab Saudi.

Kedua-dua negara yang menggunakan bahasa Arab sebagai perantara itu bakal berentap namun jurulatih, Hector Cuper belum membuat keputusan selepas tidak menurunkan El-Hadary dalam dua perlawanan sebelum ini.

Cuper dilihat tidak memberikan isyarat atau tanda-tanda untuk menurunkan El-Hadary dalam perlawanan terakhir biarpun penjaga gol berkenaan sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Mesir ditewaskan Uruguay dan Russia.

El-Hadary dilaporkan meninggalkan bangku simpanan lebih awal sebagai tanda tidak puas hati terhadap tindakan Cuper namun Persatuan Bolasepak Mesir menafikan insiden itu.

“El-Hadary tetap sentiasa bersama dan memberi sokongan penuh kepada rakan sepasukan. Dia mungkin marah kerana tidak diberi peluang untuk turut serta dalam perlawanan, namun dia tidak pernah meninggalkan bangku simpanan,” kata jurucakapnya, Sherif Ismail.

El-Hadary akan berusia 45 tahun, lima bulan dan 12 hari pada Isnin ini. Justeru, jika El-Hadary diturunkan maka dia akan mengatasi rekod pemain Columbia, Faryd Mondragn yang berusia 43 tahun, tiga hari apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Piala Dunia 2014 di Brazil.

Aksi Isnin ini sepatutnya menjadi sejarah paling bermakna buat El-Hadary yang bakal menamatkan karier antarabangsanya selepas membuat penampilan pertama mewakili Mesir dalam perlawanan menentang Korea Selatan pada 1996.

Sehingga kini, El-Hadary sudah mencatat 156 penampilan bersama Mesir dengan kali terakhir berbuat demikian ialah ketika kalah 0-3 kepada Belgium di tempat sendiri, bulan lalu.

El-Hadary juga membantu Mesir memenangi empat Piala Negara-Negara Afrika dan tiga Liga Juara-Juara Afrika.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 7:33pm
d