arena

Pengadil 'bunuh' semangat Serbia

Oleh Reuters

SAMARA, Russia: Pengkritik sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) ada isu baharu apabila Serbia dinafikan sepakan penalti ketika tewas kepada Switzerland awal pagi tadi.

Serbia tumpas 2-1 di Kaliningrad dengan Xherdan Shaqiri meledak gol kemenangan lewat permaian, tetapi keputusan mungkin berbeza jika Aleksandar Mitrovic dianugerahkan sepakan penalti.

Di pertengahan babak kedua, pertahanan Switzerland Stephan Lichtsteiner dan Fabian Schar menghimpit penyerang Serbia itu sehingga jatuh di dalam kotak penalti.

Pengadil Jerman Felix Brych memberi isyarat meneruskan permaian dan keputusan itu kekal walaupun sistem VAR digunakan bagi menghalang terjadi keputusan kontroversi sebegitu.

Pengendali Serbia Mladen Krstajic bagaimanapun tidak mahu mengulas berkenaan keputusan pengadil.

“Berkenaan pengadil, saya tiada hak untuk mengulas atau menilai, terpulang kepada anda untuk membuat penilaian,” kata Krstajic.

Naib Presiden Persatuan bola sepak Serbia yang juga bekas pemain kebangsaan negara itu, Savo Milosevic berkata ia adalah keputusan kedua yang tidak memihak Serbia selepas rayuan penalti Mitrovic ketika perlawanan pembukaan Kumpulan E menentang Costa Rica turut tidak dilayan.

"Saya faham mungkin pengadil tidak melihatnya, tetapi itulah sebabnya kita menggunakan VAR. Apa yang mereka lakukan di atas sana?” kata Milosevic. "Dua keputusan dalam dua perlawanan sudah melampau. Ini adalah Piala Dunia.”

Bekas pemain pertahanan England dan Manchester United, Rio Ferdinand melabelkan kegagalan memberi sepakan penalti sebagai “rompakan”.

“Saya rasa ia perlu dirujuk kepada VAR. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan, tetapi mereka perlu melihatnya kerana ada dua orang bergelut dengan Mitrovic,” kata Ferdinand. “Ia satu rompakan, sukar dipercayai.”

Perkara sama turut berlaku ketika perlawanan England-Tunisia di mana penyerang Harry Kane dijatuhkan oleh pertahanan tetapi tidak diberikan penalti.

 

Kekalahan itu memaksa Serbia untuk menewaskan Brazil pada perlawanan akhir peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati tanpa perlu bergantung kepada keputusan antara Switzerland dan Costa Rica, yang sudah tersingkir selepas tewas pada dua perlawanan pertama.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 7:42pm
d