arena

Malaysian Tigress belasah Indonesia 18-0

Oleh Jugjet Singh

SKUAD hoki wanita negara memulakan kempen Kejohanan Siri Terbuka Singapura dengan berkenduri gol membelasah Indonesia 18-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sengkang, hari ini. 

Kejayaan itu lebih bermakna selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bersedia menghantar pasukan itu ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Ogos depan meskipun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan mereka dalam kategori B, iaitu badan induk berkenaan perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri. 

Kemenangan hari ini juga menunjukkan peningkatan drastik dipamerkan skuad negara selepas mencatat kemenangan 11-0 ke atas lawan sama pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu. 

Skuad hoki wanita akan bertemu Hong Kong esok dengan satu lagi kemenangan besar dijangka mampu dilakar selepas barisan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah membelasah lawan itu 9-0 ketika Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia tahun lalu. 

Malaysia yang menduduki ranking ke-22 dunia kemudian akan bertemu Kazakhstan, Thailand dan Singapura. 

Kejohanan Siri Terbuka Singapura sebelum ini dikenali sebagai Pusingan Pertama Liga Hoki Dunia, adalah sebahagian daripada kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Perlawanan hari ini turut mencatat sejarah bagi pemain berusia 15 tahun, Kirandeep Kaur yang muncul pemain termuda negara beraksi bersama skuad kebangsaan selepas Dhaarma memasukkannya pada minit ke-11. 

Tiga pemain melakar hatrik iaitu Norfaiezah Saiuti pada minit ketiga, 4 dan 23, Nuraini Rashid (11, 22, 35) dan Nuraslinda Said (19, 20, 41) manakala baki gol disumbangkan Fazilla Sylvester (14), Nuramirah Zulkifli (17, 38), Nurmaizatulhanim Syafi (24), Safiqah Mat Isa (26), Zafirah Aziz (26, 49) serta Surizan Awang (43, 60). 

"Kami menerima berita mengenai skuad wanita negara yang bertukar daripada kategori A kepada B dan jika kami berjaya meraih pingat, segala kos akan dibayar semula. 

"Walaupun diletakkan di mana-mana kategori, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini sudah menegaskan barisan pemain negara pasti akan mempamer aksi terbaik di Sukan Asia," kata Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala.  

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 9:04pm
d