arena

Jumlah penalti VAR jadi bualan

Oleh Reuters

SAMARA: Salah satu tajuk bualan utama di Piala Dunia kali ini adalah jumlah sepakan penalti yang diberikan di peringkat kumpulan yang kebanyakannya dihadiahkan selepas pegawai perlawanan merujuk kepada pengadil bantuan video (VAR).

Penalti yang gagal disempurnakan Gylfi Sigurdsson ketika kekalahan 2-0 di tangan Nigeria adalah yang ke-12 sepanjang 26 perlawanan pertama kejohanan, di mana sembilan daripadanya disempurnakan.

Di Brazil empat tahun lalu, hanya 13 penalti dianugerahkan sepanjang kejohanan. Rekod terbanyak Piala Dunia ialah 18 penalti pada tahun 2002.

Peranan VAR antara faktor penyumbang kepada peningkatan ini, dengan enam penalti diputuskan berikutan ulang tayang VAR.

Satu keputusan penalti turut dibatalkan dalam kemenangan Brazil ke atas Costa Rica selepas VAR mengesahkan tidak ada kekasaran berlaku ke atas Neymar.

Pengarah Pengadilan FIFA, Massimo Busacca sebelum kejohanan berkata, VAR tidak sesuai untuk kejohanan itu dan ia sudah terbukti, dengan keputusan tidak konsisten mengecewakan pasukan dan peminat.

Pasukan Brazil dan England merasakan VAR sepatutnya digunakan ketika meneliti keputusan penalti pada perlawanan pembukaan mereka, manakala pengendali Australia Bert van Marwijk berang dengan peranan dimainkan sistem itu yang mengakibatkan kekalahan pasukannya kepada Perancis.

"Saya harap satu hari nanti akan ada pengadil yang benar-benar jujur,” kata Van Marwijk yang tidak bersetuju dengan teknologi berkenaan. 

“Daripada bahasa badan seperti dia tidak tahu, dan kemudian terpaksa membuat keputusan.” 

Bagaimanapun, FIFA kekal dengan pendirian VAR adalah satu kejayaan di sebalik kekeliruan yang mempersoalkan dalam situasi apa ia patut digunakan.

Sistem berkenaan hanya meneliti jaringan gol, penalti, kad merah dan kesilapan identiti pemain. Ia tidak boleh digunakan ketika sepakan percuma, yang menyebabkan beberapa pemain kecewa.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 9:27pm
d