arena

Gomez enggan rombak pemain

Oleh AFP

NIZHNIY NOVGOROD: Jurulatih Panama, Hernan Gomez mengesahkan tidak akan melakukan rombakan ke atas barisan pemainnya untuk berdepan England bagi saingan Kumpulan G Piala Dunia di Nizhny Novgorod.

Pengendali kelahiran Colombia itu yang sebelum ini membimbing skuad kebangsaan negaranya dan Ecuador di Piala Dunia berkata, pengalaman menjadi faktor penting dalam pemilihan pemain kali ini.

“Saya akan menggunakan barisan pemain yang sama,” kata Gomez. Beliau menambah: “Kami memiliki pasukan yang stabil dan tersusun.”

Ironinya, England pula bertelingkah dengan pihak media selepas ada pemberita mendedahkan barisan kesebelasan utama pasukan itu sebelum perlawanan.

Mengikut perancangan, penyerang Raheem Sterling akan diketepikan dan digantikan dengan Marcus Rashford seperti didedahkan menerusi gambar barisan kemungkinan yang disebarkan selepas gambar itu diserahkan kepada penolong jurulatih, Steve Holland.

Penyebaran maklumat barisan utama pemain itu menimbulkan kekecohan dalam kem England dan pihak media.

Gomez bagaimanapun menyatakan, maklumat itu tidak mengubah rancangannya atau memberi sebarang kelebihan. Beliau memuji corak permainan tersusun dan pantas pasukan England dan menjangkakan bakal berdepan ujian lebih getir berbanding aksi menentang Belgium, iaitu pasukan ranking paling tinggi dalam Kumpulan G yang menewaskan mereka 3-0.

“Perlawanan esok pasti lebih sukar,” katanya. “Ia akan menjadi perlawanan paling sukar kami setakat ini.”

Gomez mengakui kemungkinan akan mendapat keputusan sama atau lebih teruk namun menafikan dakwaan pemberita bahawa beliau terlalu bersikap negatif.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 11:45pm
d