arena

Pekerman tagih sengat Rodriguez

 

KAZAN ARENA: Jurulatih Colombia, Jose Pekerman memberi bayangan akan menurunkan James Rodriguez dalam kesebelasan utama bagi misi wajib menang ke atas Poland pada Ahad ini bagi mengelak daripada tersingkir awal pada kempen Piala Dunia.

Rodriguez yang menjadi bintang di Brazil 2014 mengalami kecederaan betis dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan ketika Colombia dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Jepun dalam aksi pembukaan minggu lalu.

Empat tahun selepas dia muncul penjaring terbanyak dengan ledakan enam gol untuk membantu pasukan Amerika Selatan itu melakar sejarah ke suku akhir di Brazil, Colombia amat menagih khidmat bintang Bayern Munich itu untuk memburu kemenangan pertama bagi kempen Kumpulan H.

Enggan mendedahkan secara terbuka mengenai kesebelasan utamanya, Pekerman tidak mahu mengesahkan sama ada Rodriguez akan diturunkan dalam skuad utama.

Bagaimanapun beliau memberikan harapan kepada penyokong 'Los Cafeteros' dengan berkata: "Dia dalam keadaan sangat baik, itu yang kami saksikan dalam sesi latihan minggu ini.

"Aksi sebagai pemain gantian sebelum ini memberikannya sedikit keyakinan. Kami perlu membuat beberapa penilaian namun dia berusaha keras dan kami berharap dia akan pulih 100 peratus."

Jika Rodriguez beraksi, ia akan menguatkan bahagian serangan Colombia yang diterajui bintang Monaco, Radamel Falcao yang buat masa ini masih gagal menyinar selepas dikerah beraksi dengan 10 pemain menentang Jepun gara-gara layangan kad merah kepada Carlos Sanchez pada minit ke-3.

Selepas bergelut dengan hanya 10 pemain, Pekerman memberi peringatan agar insiden itu tidak berulang kembali Ahad ini.

"Kami perlu 11 pemain menentang 11 pemain, ia adalah penting," katanya. 

Dengan hanya beberapa pasukan yang berjaya meraih kemenangan di Piala Dunia selepas dibolosi, jurulatih berusia 68 tahun itu mengakui bahawa pasukan yang menjaringkan gol awal memiliki kelebihan. -AFP

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 1:27am
d