arena

'Ingat kami menang nasib ke?'

Oleh AFP

ROSTOV-ON-DON: Mexico kini sudah sebelah kaki ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia selepas menundukkan Korea Selatan 2-1 hasil jaringan Javier Hernandez dan juga Carlos Vela di Rostov, malam tadi.

 

Hernandez muncul pemain pertama meledak 50 gol buat Mexico dalam 104 penampilan selepas Vela terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti.

 

Jaringan jarak jauh Son Heung Min merapatkan kedudukan di minit akhir perlawanan, namun sudah terlambat untuk menafikan Mexico daripada meraih mata penuh.

 

“Kadang kala apabila anda menentang pasukan yang memiliki tradisi bola sepak yang kecil, anda mudah kehilangan fokus kerana berasa terlalu selesa,” kata jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio.

 

“Namun kami layak memenangi perlawanan ini. Kami begitu gembira dan kemenangan ini turut dikongsi bersama seluruh negara.”

 

Korea Selatan yang tewas menerusi sepakan penalti menentang Sweden sebelum ini mencipta beberapa peluang, namun gagal disudahkan dengan baik.

 

Tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan di Russia, mereka memerlukan keajaiban untuk melepasi peringkat kumpulan.

 

Pada aksi yang berlangsung pada suhu 35 darjah celcius itu, Mexico sekali lagi tampil dengan persembahan kemas apabila menguasai permainan menerusi corak permainan pantas untuk menembusi kubu Korea Selatan.

 

Namun, Osorio nyata tidak berpuas hati apabila kurangnya perlindungan terhadap barisan pemainnya yang dikasari 24 kali sepanjang aksi terbabit.

 

“Demi kebaikan bola sepak dan pemain yang berbakat, saya harap pengadil dapat bertanggungjawab,” katanya.

 

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 6:38am
d