arena

FIFA sedia perketat garis panduan gegaran otak

Oleh Agensi

MOSCOW: Persekutuan Bolasepak Antarbangsa (FIFA) akan mempertimbangkan untuk memperketat garisan panduan berhubung gegaran otak selepas Piala Dunia bagi menghukum pasukan yang meletakkan pemain mereka dalam keadaan berisiko.

Keputusan itu dibuat susulan pemain Maghribi, Nordin Amrabat diturunkan untuk beraksi menentang Portugal hanya lima hari selepas mengalami kecederaan kepala ketika bertemu Iran.

Amrabat kehilangan ingatan dan dimasukkan ke wad semalaman namun Maghribi mengabaikan protokol FIFA yang menyatakan pemain yang mengalami kecederaan kepala tidak dibenarkan beraksi kembali sekurang kurangnya dalam tempoh enam hari.

Pemain sayap Watford itu memulakan perlawanan dengan memakai helmet keselamatan namun ditanggalkan pada minit ke-16.

Ketua Jawatankuasa Perubatan FIFA, Michel d’Hooghe berkata sudah tiba masanya badan induk itu mengetatkan peraturan supaya sekatan dapat dilaksanakan.

“Apabila saya menyaksikan apa yang berlaku, saya bukan hanya terkejut namun kecewa dan sangat marah,” kata beliau.

“Semua doktor pasukan tahu apa yang sepatutnya dilakukan namun tindakan Maghribi bertentangan dengan garis panduan kami.”

D’Hooghe menambah beliau sudah membuat beberapa perancangan untuk dibincangkan bersama jawatankuasa perubatan selepas Piala Dunia.

“Kami beranggapan garis panduan sedia ada sudah mencukupi namun nampaknya ia tidak cukup berkuasa lagi.”

D’Hooghe turut menegaskan masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa doktor pasukan boleh digantung ataupun memberitahu bentuk penalti yang bakal dikenakan.

“Mungkin kita perlukan satu langkah ke hadapan dengan mengenakan sekatan sekiranya garis panduan tidak dipatuhi.

“Saya yakin majoriti doktor pasukan mengambil serius perkara ini namun terima kasih kepada pasukan perubatan Maghribi, kini kita berdepan masalah baharu.”

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 10:51am
d