arena

Lukaku 'pegang' Belgium

Oleh AFP

LONDON: Dua gol yang diledak penggempur Belgium, Romelu Lukaku ketika menewaskan Tunisia 5-2 menyaksikan dia kini menjaringkan 17 gol di peringkat antarabangsa dalam tempoh 12 bulan ini.

Penyerang Manchester United itu juga menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman buat negaranya meskipun baru berusia 25 tahun dan kini terikat dengan Cristiano Ronaldo untuk anugerah penjaring terbanyak Piala Dunia, kali ini.

 

Lukaku kini menjaringkan lebih banyak gol di peringkat antarabangsa untuk tempoh setahun lalu berbanding sembilan bintang ternama yang lain, tidak termasuk Ronaldo.

Ronaldo meledak 23 gol untuk Portugal bagi tempoh yang sama, termasuk aksi pusingan kelayakan dan gol terakhir ketika menang 1-0 ke atas Maghribi, selepas meledak hatrik menentang Sepanyol pada aksi pembukaan Piala Dunia di Russia.

 

Namun, Lukaku jauh mengatasi senarai pemain bintang lain - Lionel Messi, Antoine Griezmann, Neymar, Alexis Sanchez, Thomas Muller, Leroy Sane, Raheem Sterling, Mauro Icardi dan Pierre-Emerick Aubameyang sekadar meledak 17 gol secara keseluruhan buat negara masing-masing.

 

Messi mendahului senarai itu dengan enam gol buat Argentina meskipun dia bergelut pada aksi di Russia apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Iceland.

 

Antoine Griezmann meledak lima gol bersama Perancis dan empat gol buat Neymar termasuk jaringan keduanya ketika menentang Costa Rica, kelmarin.

 

Alexis Sanchez dan Thomas Muller pula masing masing sekadar meletak satu gol buat Chile dan juga Jerman.

 

Leroy Sane, Raheem Sterling, Mauro Icardi dan Pierre-Emerick Aubameyang pula gagal menemui sentuhan penyudah sepanjang tempoh 12 bulan.

 

Info: Rekod jaringan antarabangsa Lukaku berbanding pemain lain dalam tempoh 12 bulan terakhir

 

17 - Romelu Lukaku

6 - Lionel Messi

5 - Antoine Griezmann

4 - Neymar

1 - Alexis Sanchez

1- Thomas Muller

0 - Leroy Sane, Raheem Sterling, Mauro Icardi, Pierre-Emerick Aubameyang

 

 

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 11:36am
d