arena

Pekerman tunggu nasib Rodriguez

KAZAN: Jurulatih Jose Pekerman memberi bayangan James Rodriguez akan berada dalam dalam kesebelasan utama menentang Poland pada pertemuan wajib menang pada awal pagi esok.

Pengalaman Rodriguez cukup ditagih ketika Colombia perlu segera meledak jaringan bagi meningkatkan peluang untuk melangkah jauh di Piala Dunia.

Bintang di Piala Dunia 2014 di Brazil itu bergelut dengan kecederaan betis memaksanya hanya diturunkan pada lewat perlawanan ketika Colombia yang beraksi dengan 10 pemain tewas mengejut kepada Jepun 1-2.

Empat tahun selepas muncul penjaring terbanyak dengan enam gol bagi melakar sejarah membawa Colombia mara ke suku akhir di Brazil, skuad Amerika Selatan itu mengharapkan bintang Bayern Munich berkenaan untuk memburu kemenangan penting Kumpulan H.

Tanpa mendedahkan senarai pemain pilihannya, pengendali dari Argentina, Pekerman enggan mengesahkan James akan berada dalam kesebelasan utama.

Namun beliau memberikan harapan kepada penyokong Los Cafeteros dengan berkata: 'Dia semakin baik, itu yang dapat disaksikan pada sesi latihan minggu ini.

"Penampilannya sebagai pemain gantian pada perlawanan lalu memberikan keyakinan kepadanya. Kami perlu melihat beberapa perkara dengan teliti nmaun dia berusaha dengan keras beberapa hari lalu dan kami berharap dia akan berada pada tahap 100 peratus."

Jika disenaraikan, ia bakal membantu jentera serangan Colombia diketuai bintang Monaco, Radamel Falcao yang belum menyinar selepas beraksi dengan 10 pemain menentang Jepun, susulan kad merah Carlos Sanchez ketika perlawanan baru berlangsung tiga minit.

"Menjadi keutamaan adalah 11 pemain menentang 11," katanya.- AFP

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 12:11pm
d