arena

Seri pun dah cukup bagus

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui keputusan seri 1-1 dengan Pahang pada separuh akhir pertama Piala FA malam tadi, diibaratkan kemenangan buat kelab itu.

Dengan menampilkan barisan pemain muda yang kurang berpengalaman dan aksi tidak konsisten dalam saingan Liga Super, beliau berkata, keputusan itu amat bermakna.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain yang berjaya mengikat Pahang terutama menjaringkan gol di tempat lawan sebagai bekalan pada separuh akhir kedua di Ipoh, 1 Julai ini.

“Mereka sudah buktikan bahawa tanpa pengalaman beraksi di separuh akhir, PKNP mampu berbuat demikian terutama beraksi dengan Pahang yang diakui cukup berpengalaman dan sebuah pasukan yang mantap.

“Kami datang ke sini juga untuk mengelak mengalami kekalahan besar dan pada masa sama memastikan pasukan tidak dikecewakan dengan gol minit akhir perlawanan,” katanya.

Mengulas taktikal yang dipersembahkan kelab itu, Abu Bakar mempertahankan percaturannya dalam usaha menafikan kemenangan skuad Tok Gajah.

“Bagi saya, keputusan seri ini adalah yang terbaik. Tetapi, kita tidak boleh melakukan sebarang kesilapan apabila bertemu sekali kali dengan baki 90 minit.

“Saya juga tahu kualiti dan kebolehan Pahang yang memerlukan semua pemain menggandakan prestasi terbaik walaupun bermain di tempat sendiri,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan, Ahmad Sukri Ab Hamid yang menjaringkan gol pendahuluan berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan rakan sepasukan.

“Keputusan ini memberi peluang kepada PKNP untuk ke final tapi kami perlu lebih bagus apabila melayan Pahang di Ipoh nanti,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 12:48pm
d