arena

Tua bukan sebarang tua

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

“TUA-tua pun berharga.” Itu yang mungkin boleh menggambarkan kelibat penyerang import Selangor, Rufino Segovia selepas meledak hatrik untuk membantu Red Giant menang besar 4-0 ke atas PKNS FC pada separuh akhir Piala FA pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam semalam.

Disebalik kejayaan membuktikan sentuhan jaringan kepada seluruh pasukan Selangor, ada isyarat yang mahu disampaikan kepada pasukan tempatan yang pernah menolak khidmatnya dengan alasan terlalu tua.

Tanpa mendedahkan pasukan mana, Rufino yang berusia 33 tahun membuktikan keputusan kelab berkenaan adalah salah dan umur bukan penentu kepada prestasi atas padang.

“Sebelum saya datang ke sini, tiada pasukan mahukan saya sebab saya tua. Saya tidak perlu beritahu pasukan mana tetapi Selangor berikan saya peluang.

“Ramai orang di sini bantu saya, jadi bagi saya, Selangor adalah rumah saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Rufino meledak dua gol pantas di babak pertama pada minit ke-39 dan 40 sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-56, diikuti gerakkannya yang mencetuskan gol sendiri pemain PKNS FC, Azmizi Azmi (m-64).

Ketika ditanya mengenai tekanan yang dilalui sebagai peledak utama pasukan, Rufino menegaskan tiada apa yang menganggu fokusnya setiap kali berada dalam padang.

Bagi penyerang dari Sepanyol itu, beliau mahu memuaskan hati peminat dan cuba memberi apa yang dimiliki.

“Tekanan hanyalah pada sebelum perlawanan. Saya fikir nak puaskan hati penyokong dan keluarga. Tetapi apabila saya masuk padang, saya fikir saya hanya perlu bermain bola seperti biasa.

“Adakala kita menang adakala kalah. Saya nak beri yang terbaik sebab kelab ini sudah bayar (khidmatnya). Penyokong datang setiap perlawanan jadi saya nak pulang ke rumah dengan fikiran tenang selepas berikan apa yang saya ada,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 1:40pm
d