arena

Dhabitah perlu tonik peminat

Oleh Rodly Fadly

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri berharap kenyataan Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen yang menafikan pembabitannya dalam isu mengambil minuman keras seperti tular baru-baru ini dapat membersihkan namanya.

Ayah penerjun itu, Sabri Hashim mendedahkan, Dhabitah kini kembali tenang serta berasa lega sebaik membaca kenyataan Mae Chen melalui Arena Metro, selepas amat tertekan sejak isu itu didedahkan melalui media beberapa hari lalu.

“Sejak isu ini diperkatakan, terutama selepas majlis permohonan maaf secara terbuka kesemua atlet terjun baru-baru ini berhubung isu video yang membabitkan pengambilan minuman keras, Bitah sangat tertekan kerana namanya turut terpalit.

“Apabila Bitah disebut sebagai antara tujuh atlet yang terbabit dalam video yang memaparkan atlet terjun ‘berpesta’ sambil minum minuman keras, masyarakat mula memandang serong terhadapnya kerana menyangka dia turut mengambil minuman itu.

“Saya kenal siapa anak saya, dia tidak akan melakukannya. Malah, bila isu ini tercetus, saya mendesak serta bertanya adakah benar dia terbabit tapi Bitah berkata ‘tidak’.

“Hakikatnya, dia tidak sedikit pun meneguk minuman keras walaupun dalam video itu dia turut berada bersama atlet yang terbabit. Tapi, kerana ‘seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’,” ujar Sabri.

Menurut Sabri, ekoran penyebaran video berkenaan, disusuli pula permohonan maaf yang turut disertai Dhabitah, emosi anaknya terjejas sehingga lebih banyak berdiam serta mengurung diri dalam rumah.

“Selalunya, bila hari raya sebegini, Bitah akan mengikut kami mengunjungi saudara mara serta sahabat handai tapi kali ini dia hanya memerap di rumah. Saya tahu dia sedang tertekan dan malu untuk berhadapan masyarakat apatah lagi saudara mara yang pasti akan bertanyakan isu ini.

“Malah, kami sebagai keluarga turut terkena tempias, seolah-olah tidak tahu mendidik anak untuk membezakan yang mana halal dan yang mana haram,” kata Sabri.

Sabri berkata ASUM sepatutnya membersihkan nama Dhabitah sejak awal namun tetap lega kerana badan renang itu akhirnya tampil melakukannya walaupun menganggap ‘kemusnahan sudah berlaku’.

“Dhabitah sedikit lega bila ASUM akhirnya membuat kenyataan. Dia berharap namanya dapat dibersihkan daripada isu kontroversi itu,” katanya.

Rabu lalu, media melaporkan skuad terjun terpalit kontroversi apabila video yang tular di internet memaparkan penerjun negara bersuka-ria, berfoya-foya sambil minum minuman keras dan kejadian dipercayai berlaku di Guangzhou, China, Februari lalu.

Susulan itu tujuh atlet yang terbabit dalam video itu termasuk Dhabitah tampil memohon maaf secara terbuka melalui satu sidang media.

Walau bagaimanapun Mae Chen, semalam tampil menyatakan Dhabitah dan seorang lagi penerjun, Hanis Nazirul Jaya Surya tidak terbabit mengambil minuman beralkohol.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 2:36pm
d