arena

Syamer mahu tembusi MU

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Kematangan permainan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Syamer Kutty Abba mula mendapat kepercayaan pengendali, Raul Longhi apabila disenaraikan dalam dua aksi penting menentang Pahang dan Terengganu FC (TFC).

Kepercayaan itu dibalas aksi cemerlang Syamer Kutty apabila membantu skuad Harimau Selatan menewaskan Pahang 2-1 (12 Jun) disusuli kemenangan 2-0 ke atas TFC (20 Jun).

Gandingan mantap Syamer Kutty, Hariss Harun dan Fernando Elizari di tengah bukan saja menguasai bahagian itu dengan menyerap segala asakan pamain lawan, malah berjaya menyusun strategi melancarkan serangan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu masih belum berpuas hati dengan corak permainannya dan yakin mampu mempamerkan lebih baik jika diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

"Memang itu impian saya bersama JDT. Namun saya tidak boleh terlalu selesa kerana harus bekerja keras kerana semua pemain adalah yang terbaik dan bersaingan sengit merebut tempat.

"Kami berada di landasan terbaik untuk muncul juara Liga Super buat kali kelima tetapi ketika ini, kami tidak terlalu memikirkan kejuaraan sebaliknya mahu memburu kemenangan menentang Melaka United (MU), Selasa ini.

"Senarai pemain adalah keputusan jurulatih. Sebagai pemain, saya hanya boleh berikan yang terbaik pada latihan dan jika diturunkan pada perlawanan sebenar," katanya.

Sebelum ini, Syamer Kutty berlatih bersama kelab Divisyen Tiga Portugal, Vilaverdense FC selama setahun bersama Dominic Tan dan mengakui meraih banyak pengalaman berguna di sana.

Untuk aksi menentang MU di Stadium Hang Jebat, Selasa ini, Syamer Kutty mengakui skuad kendalian E Elavarasan itu menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 4:49pm
d