arena

Entah bagaimana, Jerman menang - Lineker

Oleh AFP

GARY Lineker mengemaskini sindirannya terhadap Jerman yang sentiasa menang selepas jaringan lewat Toni Kroos menghidupkan kembali peluang pasukan itu untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia hasil kemenangan 2-1 ke atas Sweden, hari ini.

"Bola sepak adalah permainan yang mudah, 22 lelaki mengejar satu bola untuk tempoh 82 minit dan seorang pemain Jerman dibuang padang, menjadikannya 21 lelaki mengejar bola untuk 13 minit dan akhirnya, entah bagaimana, Jerman menang," kata bekas kapten England itu di Twitter.

Kroos meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma lencong pada minit ke-95 bagi memastikan kemenangan buat Jerman di Sochi, sekali gus menghidupkan peluang Die Mannschaft untuk ke pusingan kalah mati selepas tewas 0-1 di tangan Mexico dalam aksi pembukaan.

Kemenangan itu hadir ketika Jerman hanya bermain dengan 10 pemain selepas pertahanan tengah, Jerome Boateng dibuang padang apabila dilayangkan kad kuning kedua.

Lineker, 57, pada satu ketika terkenal dengan kata-katanya: "Bola sepak adalah permainan mudah -- 22 lelaki mengejar satu bola untuk tempoh 90 minit dan penghujungnya, Jerman sentiasa menang."

Sindiran itu hadir selepas England tewas menerusi penalti di tangan Jerman pada Piala Dunia 1990.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 8:21pm
d